Hajiji yakin Sabah mampu capai empat juta pelawat tahun ini

KOTA BELUD: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yakin negeri itu masih mampu mencapai sasaran empat juta pelawat tahun ini selepas merekodkan kira-kira 2.6 juta ketibaan setakat Ogos. 

Menurut Hajiji, jumlah itu merangkumi 1.1 juta ketibaan antarabangsa dan 1.5 juta pelawat domestik.

“Dengan prestasi yang lebih kukuh pada suku keempat, saya yakin sasaran empat juta itu masih boleh dicapai,” katanya ketika merasmikan JSK Mantanani Island Resort di Kota Belud, semalam. 

Hajiji berkata kerajaan negeri mahu pertumbuhan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya saing, inklusif dan mampan, termasuk menangani isu kesalinghubungan penerbangan, pemeliharaan alam sekitar serta memperluas penyertaan masyarakat tempatan.

Katanya, pembukaan JSK Mantanani Island Resort dengan pelaburan RM160 juta adalah selari dengan usaha negeri meningkatkan kemudahan pelancongan bertaraf tinggi. Resort berkenaan mempunyai 84 vila dan menjalin kerjasama dengan Wyndham Hotels & Resorts. 

Hajiji turut menegaskan pembangunan pelancongan perlu memberi manfaat kepada masyarakat setempat menerusi peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran serta ruang perniagaan kepada usahawan, pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan.

Kerajaan negeri juga sedang memperhalusi strategi menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, yang dirancang sebagai antara usaha memperkukuh jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. 

Menurut Hajiji, kejayaan agenda itu memerlukan penyertaan kerajaan, pemain industri, sektor swasta dan masyarakat tempatan bagi memastikan pertumbuhan pelancongan berjalan seiring dengan perlindungan warisan alam serta budaya Sabah.

Berita Berkaitan