Hak 40 peratus, tambah kerusi Parlimen perlu sokongan semua pihak – Masiung
KOTA KINABALU: Pendirian kerajaan negeri berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah dan penambahan nisbah kerusi Parlimen wajar mendapat sokongan semua pihak kerana ia melangkaui batas politik kepartian.
Pengerusi Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, kedua-dua perkara itu terkandung dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tidak sepatutnya dipolitikkan.
Menurutnya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ketua kerajaan negeri sedang mempertahankan hak rakyat Sabah menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu di Kota Kinabalu.
Katanya, Hajiji menegaskan supaya kerajaan persekutuan tidak melengahkan penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil Sabah selain memperjuangkan pertambahan nisbah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah mengalu-alukan persetujuan secara prinsip kerajaan persekutuan untuk membuka ruang pindaan Perlembagaan bagi membolehkan pertambahan kerusi Parlimen bagi kedua-dua wilayah berkenaan.
“Rakyat Sabah sudah lama menunggu kedua-dua perkara dalam MA63 itu dilaksanakan kerana manfaatnya turut dinikmati semua pihak termasuk pembangkang.
“Penambahan kerusi perlu bagi memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak lebih kukuh di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Sabah dan Sarawak secara kolektif wajar mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen bagi mengembalikan semangat asal pembentukan Malaysia.
Ketika ini, daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, Sabah mempunyai 25 kerusi manakala Sarawak 31 kerusi.
Masiung yang juga ADUN Kuamut turut menegaskan bahawa RM1.5 bilion yang diumumkan kerajaan persekutuan sebelum ini merupakan Geran Khas Interim dan bukannya penyelesaian muktamad terhadap tuntutan hak 40 peratus Sabah.
Katanya, pendekatan rundingan secara diplomasi antara Sabah dan Putrajaya lebih berkesan berbanding konfrontasi yang boleh menjejaskan hubungan kerajaan dengan kerajaan.

