Hak 40% Sabah bukan untuk dirunding, kata Shafie
KOTA KINABALU: Hak Sabah menerima 40% hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu tidak boleh dirunding kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Semporna, Shafie Apdal.
Beliau berkata, hak berkenaan perlu dibezakan dengan pemberian khas kepada Sabah yang jumlahnya boleh dibincangkan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Pemberian khas boleh dirunding. Dulu saya bincang dengan Lim Guan Eng, dia beri RM56 juta sahaja. Tidak cukup, saya minta dan tanya formula apa yang digunakan,” katanya.
Shafie merujuk pengalamannya berunding dengan bekas Menteri Kewangan itu mengenai jumlah pemberian khas kepada Sabah.
Menurutnya, formula 40% mempunyai asas perlembagaan tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan pemberian khas yang ditentukan melalui rundingan.
“Empat puluh peratus adalah berbeza. Satu-satunya negeri dalam negara yang mempunyai hak 40 peratus ialah Sabah. Sarawak pun tidak mempunyai formula yang sama,” katanya.
Beliau berkata, formula berkenaan sudah diperuntukkan dalam Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan dan berkaitan hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.
Katanya, perkembangan kes di mahkamah turut menunjukkan kepentingan melaksanakan hak berkenaan mengikut peruntukan Perlembagaan.
“Ini bukannya perkara yang perlu dirunding. Saya ingat perkara ini perlu dijelaskan supaya rakyat tidak keliru,” katanya.
Isu hak 40% Sabah kini menjadi perhatian susulan rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pelaksanaan pemberian khas negeri itu.
— SABAH NEWS TODAY

