Hak 40% Sabah: Madius persoal kelewatan bayaran RM4 bilion setahun

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan mengenai jumlah sebenar pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari Sabah serta garis masa pembayarannya.

Beliau berkata, desakan itu susulan jawapan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat yang menganggarkan jumlah hasil dikutip di Sabah bagi tempoh 2022 hingga 2024 sekitar RM10 bilion setahun.

Menurutnya, sekiranya jumlah berkenaan merupakan pungutan bersih Persekutuan dari Sabah, maka 40 peratus daripadanya bersamaan RM4 bilion setahun.

“Jika jumlah pungutan bersih Persekutuan daripada Sabah ialah sekitar RM10 bilion setahun, maka 40 peratus daripada jumlah itu bersamaan RM4 bilion setahun.

“Persoalan rakyat ialah, apakah lagi alasan atau isu yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk terus menangguhkan pembayaran hak 40 peratus Sabah?” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Madius berkata, berdasarkan jawapan Kementerian Kewangan, anggaran hasil berkenaan merangkumi bayaran tunai hasil petroleum sebanyak lima peratus serta kutipan cukai langsung dan tidak langsung yang lain.

Bagaimanapun, katanya, kementerian tidak memperincikan pecahan hasil mengikut tahun atau kaedah pengiraan yang digunakan bagi menentukan jumlah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan memperjelaskan asas pengiraan pemberian khas 40 peratus, termasuk jumlah sebenar yang perlu dibayar kepada Sabah.

Beliau turut menggesa kerajaan menetapkan garis masa pembayaran yang jelas bagi memberikan kepastian kepada rakyat negeri itu.

Menurutnya, isu pemberian khas berkenaan terus menjadi perhatian dalam hubungan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan memerlukan penjelasan yang menyeluruh.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan