‘ Hantar isteri bersalin, balik bawa saman’

KOTA KINABALU: “Boss… kami datang hantar pesakit, bukan datang cari saman.”

Itu luahan Mohd Huzaimi Rashid selepas mendakwa dikenakan saman oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Mohd Huzaimi berkata, beliau hanya meninggalkan kenderaan kira-kira sejam ketika menemani isterinya yang sedang bersalin kerana semua ruang parkir di hospital penuh.

“Timbang rasalah sedikit… kami datang dari Tuaran. Bukan semua orang mampu berulang-alik menggunakan e-hailing setiap kali ke hospital.

“Kami datang bukan hendak melanggar undang-undang, tetapi mahu menghantar isteri bersalin dan mendapatkan rawatan,” katanya kepada Sabah News Today.

Beliau mendakwa kekurangan parkir memaksa ramai pengunjung meletakkan kenderaan di bahu jalan dan pembahagi jalan berhampiran hospital.

Menurutnya, mereka kini bimbang jika tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan, termasuk penundaan kenderaan, sedangkan kebanyakan yang datang ialah ahli keluarga yang menghantar ibu mengandung, kanak-kanak dan warga emas mendapatkan rawatan.

“Kalau ada parkir yang mencukupi, siapa yang sanggup parkir di bahu jalan? Kami bukan sengaja mahu melanggar peraturan, tetapi sudah tiada pilihan,” katanya.

Beliau berharap pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian segera terhadap masalah parkir di HWKKS agar pengunjung tidak terus berdepan dilema antara mendapatkan rawatan dan berisiko dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Berita Berkaitan