Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 Disambut Serentak di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 akan berlangsung serentak pada 31 Ogos ini di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens dengan pelbagai acara dijadualkan dari pagi hingga malam.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun berkata, sambutan Hari Kebangsaan pada sebelah pagi akan melibatkan penyertaan kontinjen daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform, sekolah, persatuan dan pelbagai organisasi.
Setakat ini, sebanyak 180 kontinjen telah memohon untuk mengambil bahagian dalam perbarisan dan perarakan dan acara dijadualkan bermula seawal jam 6 pagi.
Acara rasmi pula akan menyaksikan keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah pada jam 7.30 pagi, diikuti nyanyian Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, upacara menaikkan bendera, lafaz Ikrar Rukun Negara, persembahan koir serta perbarisan dan perarakan kontinjen.
Sambutan Hari Kebangsaan dijangka berakhir sekitar jam 10.30 pagi.
Pada sebelah malam, sambutan akan diteruskan dengan Sambutan Hari Sabah 2026, dengan acara preshow bermula seawal jam 5 petang sebelum acara kemuncak bermula sekitar jam 8 malam.
Antara pengisian utama ialah tarian sambut tamu, perarakan etnik, persembahan laser dan lampu, persembahan koir, lafaz Pemasyhuran Hari Sabah, upacara menaikkan bendera, tayangan montaj khas serta persembahan “Sabah Tanah Airku”.
Majlis dijangka berakhir sekitar jam 11 malam.
Masidi berkata, sambutan pada tahun ini bukan sekadar acara tahunan sebaliknya menjadi platform untuk rakyat menghayati sejarah, memperkukuh perpaduan serta menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negeri serta negara.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan bersejarah tersebut.

