Hotel lima bintang pertama Papar dijangka dibuka Disember 2027

PAPAR: Hotel bertaraf lima bintang pertama di Papar, InterContinental Sabah Kota Kinabalu Resort di Melinsung, dijangka mula beroperasi pada Disember 2027.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek bernilai kira-kira RM1 bilion itu dibangunkan Sinyi Group dari Taiwan di kawasan seluas lebih 32 hektar, dengan IHG Hotels & Resorts sebagai rakan pengendali.

Menurutnya, kemajuan keseluruhan projek kini mencapai 34.1 peratus, manakala pembinaan hotel utama sudah mencapai 47.7 peratus.

“Hotel utama disasarkan mula beroperasi pada Disember 2027, diikuti keseluruhan pusat peranginan pada 2028.

“Apabila siap, projek ini dijangka membuka kira-kira 700 peluang pekerjaan baharu,” katanya selepas meninjau tapak projek hari ini.

Armizan berkata pusat peranginan itu dirancang mempunyai 418 bilik dan unit penginapan, sekali gus dijangka menjadi destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa di Papar.

Beliau berkata usaha membawa pelaburan berkenaan bermula sejak Oktober 2021 apabila beberapa lokasi berpotensi ditinjau bersama wakil Sinyi Group dan pegawai daerah.

Tinjauan hari ini turut disertai ADUN Kawang, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar serta pemimpin setempat.

Armizan berharap pembangunan itu memberi manfaat lebih luas kepada penduduk, terutama menerusi peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada sektor makanan, pengangkutan, pembekalan dan perkhidmatan pelancongan.

“Harapan saya sejak awal ialah pelaburan ini memberikan manfaat yang melangkaui pembangunan sebuah pusat peranginan.

“Ia perlu membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan membawa limpahan ekonomi kepada pengusaha di Papar,” katanya.

Berita Berkaitan