IPU hampir 200, Sabah aktif PKOB negeri dan tiga daerah
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri serta PKOB di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang menghampiri paras 200.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, berkata langkah itu dibuat mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan perkembangan semasa telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, setakat 5 petang 1 September, bacaan IPU di Kota Kinabalu berada pada 177, Tawau 153, Keningau 165, Kimanis di Papar 166 dan Politeknik Kota Kinabalu 153.
Kesemua lokasi itu mencatatkan tahap tidak sihat dan dikategorikan di bawah Amaran 1A.
Zainudin berkata keadaan dijangka terus terjejas selagi pergerakan angin membawa pencemaran ke Sabah dan tiada hujan berlaku di Kalimantan.
Bagi Amaran 1A, aktiviti luar bilik darjah serta kokurikulum dan sukan perlu dihentikan atau ditangguhkan, manakala pemantauan terhadap industri dan tapak pelupusan sampah akan dipertingkatkan.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mencadangkan aktiviti rasmi ditangguhkan jika IPU mencecah 200 atau lebih.
Sekolah di kawasan yang mencapai paras itu juga boleh disyorkan ditutup dengan pembelajaran diteruskan dari rumah.
Bagaimanapun, pengisytiharan darurat atau bencana jerebu hanya akan dibuat sekiranya IPU mencecah 500 dan ke atas.

