JANS jamin bekalan 200 meter padu air sehari ke Kondominium Kingfisher Putatan

PUTATAN: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memberi jaminan membekalkan antara 180 hingga 200 meter padu air sehari ke Kondominium Kingfisher Putatan sebagai langkah segera menangani isu bekalan air yang menjejaskan kira-kira 500 penghuni.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jaminan itu dicapai hasil pertemuan melibatkan JANS, pihak pengurusan kondominium dan wakil penghuni di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya bekalan harian itu masih tidak mencukupi, JANS turut bersetuju menghantar lori tangki air bagi menampung keperluan penduduk.

“Pada perbincangan ini, kita mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak dan hasilnya JANS bersetuju membekalkan antara 180 hingga 200 meter padu air sehari.

“Jika jumlah itu masih tidak mencukupi, lori tangki akan dihantar bagi memastikan bekalan air kepada penghuni tidak terjejas,” katanya.

Shahelmey berkata, beliau berpuas hati dengan penyelesaian yang dicapai dan berharap masalah bekalan air di kondominium berkenaan dapat diatasi secara berperingkat.

Sebelum ini, isu bekalan air di Kondominium Kingfisher Putatan menjadi perhatian selepas pihak pengurusan dilaporkan menanggung kos melebihi RM120,000 bagi mendapatkan bekalan air daripada pembekal luar.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata JANS memaklumkan kapasiti bekalan air di Putatan dijangka bertambah selepas siapnya Loji Air Kasigui berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) dan Loji Kogopon Dua berkapasiti 15 MLD.

Bagaimanapun, katanya, projek Loji Kogopon Dua masih mengalami kelewatan dan berharap kontraktor dapat mempercepatkan penyiapannya bagi meningkatkan bekalan air di kawasan Putatan Selatan.

Berita Berkaitan