JIM Sabah tahan 44 warga asing
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 44 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan di Kota Kinabalu, Keningau dan Tawau.
Operasi membabitkan Ops Ajar, Ops Gegar, Ops Selera, Ops Sapu, Ops Jaja dan Ops Kutip itu memeriksa seramai 179 individu.
Daripada jumlah tangkapan, 34 direkodkan di Tawau, enam di Keningau dan empat di Kota Kinabalu.
Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.
JIM Sabah berkata operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.

