JKNS tidak kompromi dakwaan salah laku pengarah hospital
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku termasuk dakwaan serangan seksual, gangguan dan buli di tempat kerja membabitkan seorang pengarah hospital di negeri ini.
JKNS berkata, siasatan terperinci yang dijalankan jawatankuasa khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan dakwaan yang tular di media sosial telah selesai.
Menurutnya, hasil siasatan sudah diperoleh dan syor tindakan susulan kini sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta undang-undang.
Katanya, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan nilai integriti dan etika perkhidmatan awam, malah boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja.
JKNS turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap kakitangan dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat, kondusif dan saling menghormati.

