Kebakaran besar landa Kampung Sentosa Hill Top, Tawau
TAWAU: Kebakaran besar dilaporkan berlaku di kawasan penempatan Kampung Sentosa Blok 4 Hill Top atau dikenali sebagai Kampung Tator, di sini, pada pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, suasana cemas menyelubungi penduduk apabila mereka berusaha menyelamatkan diri serta harta benda masing-masing.
Kejadian berkenaan turut mendapat perhatian orang ramai selepas rakaman video dari udara yang memaparkan kebakaran itu tular di media sosial.
Difahamkan, usaha memadamkan kebakaran sedang giat dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
Bagaimanapun, jumlah rumah yang musnah atau terjejas akibat kejadian berkenaan masih belum dapat dipastikan.
Maklumat mengenai kemungkinan terdapat mangsa yang mengalami kecederaan atau kehilangan nyawa juga belum diperoleh setakat ini.
Sementara itu, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih belum diketahui dan menunggu pengesahan pihak berkuasa.
Maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan akan dikemas kini selepas laporan rasmi diperoleh daripada pihak berkuasa berkaitan.
— SABAH NEWS TODAY

