Kematangan politik penting kekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Kematangan politik serta keupayaan mengimbangi hak parti dengan tanggungjawab membina negara penting bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan terus terpelihara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Menerusi hantaran di Facebook sempena Hari Kebangsaan, beliau berkata landskap politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 perlu diterima dengan kesedaran bahawa kestabilan kerajaan amat penting dalam menentukan hala tuju pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Armizan, kematangan politik dalam Jemaah Menteri terbina melalui kesedaran bersama untuk membentuk konsensus perpaduan.

“Saya kagum kerana sekalipun di luar para penggerak parti saling ‘berbalas pantun bertikam lidah’ sejak beberapa bulan lepas, hubungan dan interaksi para pimpinan utama dalam setiap Mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional,” katanya.

Beliau berkata pengalaman antara 2018 hingga 2022 yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dan tiga saf Kabinet dalam satu penggal tidak seharusnya berulang.

“Peristiwa 2018-2022 dengan pertukaran tiga perdana menteri dan tiga saf Kabinet dalam satu penggal bukanlah formula yang baik untuk membina kemakmuran mampan untuk Malaysia,” katanya.

Armizan berkata hak politik individu dan parti perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab membina negara.

Katanya, semangat itu penting dalam memastikan kestabilan politik dapat dipertahankan dalam landskap demokrasi Malaysia yang semakin dinamik.

Beliau turut berkata sambutan Bulan Kebangsaan menjadi ruang untuk rakyat menzahirkan kebersamaan dan mensyukuri nikmat kemerdekaan serta keamanan.

Menurutnya, setiap warganegara mempunyai peranan dalam sistem kenegaraan dan tanah air ini adalah milik bersama tanpa mengira persamaan atau perbezaan.

Berita Berkaitan