Kerjasama GRS, BN dan PH diteruskan demi kestabilan Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan meneruskan kerjasama politik sedia ada membabitkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta rakan-rakan lain demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kestabilan politik menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi membolehkan perancangan pembangunan dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.

Menurutnya, kerjasama antara parti yang membentuk kerajaan ketika ini perlu diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Kita maklum bahawa kerajaan negeri pada hari ini adalah kerajaan yang terdiri daripada Barisan Nasional dan juga PH dan rakan-rakan yang lain. Dan ini kita teruskan.

“Kita mahu kestabilan. Kalau kita ada kestabilan, kita boleh merancang pembangunan dengan lebih teratur dan lebih baik untuk rakyat kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah (PPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Hajiji menjelaskan, kesinambungan kerjasama politik dalam kerajaan negeri penting bagi memastikan usaha pembangunan tidak terganggu.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada kestabilan pentadbiran supaya perancangan untuk kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.

“Jadi jajaran politik dalam kerajaan sekarang ini, itulah kita teruskan,” tegasnya.

Pendirian itu sekali gus memperlihatkan komitmen Hajiji untuk mengekalkan kerjasama politik yang sedang membentuk pentadbiran kerajaan Sabah.

Berita Berkaitan