KGKS mahu KPM tambah pegawai kaunselor di setiap PPD Sabah

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menambah bilangan pegawai kaunselor dan kakitangan di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah bagi memperkukuh sokongan kesihatan mental kepada warga pendidik.

Presidennya, Murkam Hussien, berkata cadangan itu dibuat susulan kematian seorang guru wanita di Hulu Selangor yang mengundang kebimbangan terhadap kesejahteraan mental guru.

Menurut beliau, kebanyakan unit kaunseling di PPD ketika ini hanya dikendalikan oleh seorang pegawai yang turut menjalankan tugas pentadbiran.

“Sabah mempunyai kawasan yang luas dan jumlah sekolah yang banyak. Seorang pegawai kaunselor di setiap PPD tidak mencukupi untuk memberi sokongan kepada semua warga pendidik,” katanya.

Beliau berkata penambahan pegawai kaunselor akan membolehkan intervensi awal dilakukan dengan lebih berkesan terhadap guru yang berdepan tekanan kerja atau masalah emosi.

Murkam turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan meminta semua pihak memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Katanya, KGKS berharap KPM mempertimbangkan cadangan itu demi memperkukuh sistem sokongan psikologi kepada guru di seluruh Sabah.

Berita Berkaitan