Khidmat kepada masjid, surau antara buka hati peluk Islam

KOTA KINABALU: Pengalaman bertahun-tahun menyantuni masyarakat pelbagai agama termasuk membantu masjid, surau dan gereja menjadi antara perkara yang membuka hati ADUN Pitas, Datuk Ruddy Awah, untuk memeluk Islam.

Ruddy berkata pendekatan membantu masyarakat tanpa mengira agama sudah diamalkannya sejak sebelum bergelar wakil rakyat.

Menurutnya, bantuan kepada rumah ibadat diteruskan selepas beliau menjadi ADUN Pitas dengan peruntukan tabung bantuan disalurkan setiap tahun.

“Sejak sebelum menjadi wakil rakyat, sama ada gereja, masjid atau surau, kita bantu sedaya mampu apabila mereka memohon sumbangan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Ruddy yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata, ketika masih berpegang kepada kepercayaan pagan, beliau mengambil inisiatif melantik sembilan guru Fardu Ain untuk mengajar al-Quran kepada masyarakat Islam di Pitas.

Katanya, beliau membayar setiap guru terbabit RM1,000 sebulan menggunakan wang peribadi.

Selain itu, Ruddy berkata beliau turut membantu menyediakan van jenazah untuk kegunaan masyarakat Islam dan Kristian serta kain kafan di setiap surau.

Menurut Ruddy, pengalaman menyantuni keperluan masyarakat Islam sepanjang tempoh berkenaan secara beransur-ansur membuka hatinya terhadap agama Islam.

“Dengan adanya bantuan kepada surau dan masjid, guru Fardu Ain, kemudahan van jenazah untuk umat Islam dan Kristian serta kain kafan di setiap surau, perkara-perkara inilah yang membuatkan hati saya terbuka.

“Mungkin sudah tiba masanya. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.

Berita Berkaitan