Kibar Jalur Gemilang, bendera Sabah semarak patriotisme – Shahelmey

PUTATAN – Kempen mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah perlu dipergiatkan sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh perpaduan rakyat.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, usaha itu mampu menyemai rasa cinta terhadap negara dan negeri selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab mempertahankan nilai kemerdekaan yang dinikmati hari ini.

Menurutnya, semangat patriotik perlu dipupuk bermula di peringkat akar umbi supaya masyarakat bukan sahaja meraikan sambutan berkenaan, malah memahami makna kemerdekaan dan kepentingan perpaduan.

“Dengan kukuhnya perpaduan, rasa cintakan negara dapat membangkitkan semangat semua pihak untuk bersatu padu memajukan negara dan negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Komuniti MADANI Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan.

Shahelmey turut menyertai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) membabitkan 25 kenderaan dan 63 anggota daripada pelbagai agensi yang menjelajah beberapa lokasi sekitar Putatan.

Katanya, program sedemikian bukan sahaja menyemarakkan sambutan kemerdekaan, malah mampu membentuk jati diri dan menyatukan masyarakat menerusi semangat cintakan Sabah serta Malaysia.

Berita Berkaitan