Lelaki ditahan selepas teman wanita maut dipercayai dipukul

PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun bagi membantu siasatan kematian teman wanitanya yang dipercayai dipukul selepas berlaku perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata mangsa berusia 44 tahun dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 31 Ogos lalu.

Wanita itu kemudian disahkan meninggal dunia pada malam sama ketika menerima rawatan.

Sammy berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Penampang bersama Pasukan Forensik D10 IPK Sabah.

Beberapa barangan kes dan sampel turut diperoleh untuk tujuan analisis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Hairie Awang Akub di talian 016-8032849 atau tampil di balai polis berhampiran.

Berita Berkaitan