Malaysia diberi akses siasat juruterbang ditahan kes dadah di Jakarta
SUBANG: Pasukan penyiasat Malaysia kini diberikan akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan terhadap juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Jakarta bulan lalu kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan itu membolehkan siasatan lanjut dilakukan, namun proses berkenaan masih pada peringkat awal.
Menurutnya, beliau sudah menerima taklimat awal daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengenai perkembangan terkini siasatan.
“Masih dalam proses, biar mereka lengkapkan dahulu proses itu dan saya juga akan berkongsi apa-apa perkembangan baharu daripada siasatan itu nanti,” katanya selepas majlis penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang, hari ini.
Susulan kes itu, Saifuddin berkata satu pelan komprehensif bagi memperketat kawalan keselamatan di lapangan terbang negara sedang diperincikan dan dijadual dibentangkan kepada Jemaah Menteri Rabu depan.
Katanya, beliau memberi tempoh dua minggu kepada pasukan pelbagai agensi untuk memperincikan pelan tersebut sebelum dibawa ke Kabinet bersama Menteri Pengangkutan.
Pada 29 Julai lalu, seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah, termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.
Juruterbang itu dilaporkan menaiki penerbangan MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

