Manifesto pilihan raya bukan kontrak undang-undang, tetapi amanah politik

Oleh Dr. Muzaffar Syah Mallow

Manifesto pilihan raya menjadi antara dokumen paling penting setiap kali negara memasuki musim pilihan raya. Ia mengandungi pelbagai janji dan komitmen yang ditawarkan parti politik kepada rakyat bagi meyakinkan pengundi supaya memberikan mandat kepada mereka.

Namun, dari sudut perundangan, manifesto pilihan raya bukanlah dokumen yang mempunyai kuasa undang-undang. Pengundi perlu memahami bahawa janji yang terkandung dalam manifesto tidak boleh dikuatkuasakan melalui tindakan mahkamah sekiranya gagal dilaksanakan selepas sesuatu parti membentuk kerajaan.

Pendirian itu telah diputuskan Mahkamah Rayuan pada 2013 apabila memutuskan manifesto pilihan raya bukan dokumen yang mengikat secara sah di sisi undang-undang. Dalam kes berprofil tinggi itu, tindakan sekumpulan ibu tunggal terhadap kerajaan Selangor berhubung kegagalan melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum 2008 telah ditolak.

Mahkamah menerima hujahan bahawa penyelesaian terhadap kegagalan melaksanakan manifesto bukan melalui litigasi, sebaliknya melalui proses demokrasi. Dalam erti kata lain, kuasa sebenar pengundi ialah di peti undi pada pilihan raya berikutnya.

Walaupun begitu, ketiadaan kewajipan undang-undang tidak bermakna ahli politik bebas mengabaikan janji yang dibuat. Manifesto tetap mewujudkan tanggungjawab moral kepada rakyat yang memberikan mandat berdasarkan janji tersebut.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan sama ada kerangka undang-undang sedia ada perlu diperkemas bagi meningkatkan akauntabiliti politik, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.

Berita Berkaitan