Mengamuk, pecah barang dan ugut keluarga, lelaki dicekup

TAWAU: Gara-gara disyaki mengamuk, memecahkan barangan rumah dan mengugut ahli keluarga sendiri, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis di Kampung Simpang Tiga, Merotai Besar, di sini, malam tadi.

Suspek dipercayai bertindak agresif dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi semalam sebelum mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap seorang ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek turut mengajak ahli keluarganya bergaduh di luar rumah sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mangsa dan keluarga.

Menurutnya, susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai segera menjalankan usaha mengesan suspek.

“Hasil tindakan pantas polis, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 10.15 malam pada hari sama di kawasan sebuah rumah di Kampung Simpang Tiga, Merotai Besar.

“Penahanan dilakukan kurang 24 jam selepas laporan polis diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan ugutan atau menggunakan kekerasan sehingga mengancam keselamatan orang lain, termasuk ahli keluarga sendiri.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan sebarang ancaman, sebaliknya segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Rosdi turut menggesa masyarakat menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.

Berita Berkaitan