Murid 11 tahun parah dilanggar kereta depan sekolah
KOTA KINABALU: Seorang murid berusia 11 tahun cedera parah di kepala selepas dilanggar sebuah kereta Proton Waja ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, pagi semalam.
Dalam kejadian di Jalan Tuaran Lama itu, mangsa dilaporkan masih menerima rawatan di Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Likas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.03 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 69 tahun sedang dalam perjalanan dari Pekan Manggatal menuju ke CKS Manggatal.
“Ketika tiba di hadapan SK Darau, kereta terbabit melanggar mangsa yang dipercayai berlari melintas jalan dari arah kanan ke kiri.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Shahrudin berkata, kereta terbabit sudah ditahan bagi menjalani pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Katanya, polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan semua pihak yang terbabit serta mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mazlan Mursalam di talian 012-3036605 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
— SABAH NEWS TODAY

