Mustapha mahu Sepanggar dipecah dua, jumpa SPR Selasa depan
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud akan mengemukakan cadangan supaya Parlimen Sepanggar dipecahkan kepada dua susulan persetujuan secara prinsip kerajaan untuk menambah perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata kawasan itu kini mempunyai kira-kira 130,000 pengundi, antara faktor yang menurutnya mewajarkan pembentukan satu lagi kerusi Parlimen.
“Parlimen perlu ditambah. Sepanggar boleh dibahagi dua sebab Parlimen Sepanggar paling ramai, 130,000 pengundi.
“Kalau dua Parlimen, dapat dua peruntukan tambahan di Sepanggar,” katanya ketika ditemui pada Pesta Kuih Bulan Parlimen Sepanggar sempena Hari Malaysia di Kolombong Plaza, malam ini.
Mustapha berkata beliau dijadual bertemu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa depan bagi membincangkan cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata butiran mengenai sempadan kawasan baharu masih memerlukan perbincangan dan kajian lanjut.
Sasar semangat satu pertiga
Menurut Mustapha, usaha meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak perlu dilihat dalam konteks pembentukan Malaysia dan perkara berkaitan MA63.
“Semangatnya ialah satu pertiga Sabah dan Sarawak di Parlimen. Bukan hanya sebelah pihak sahaja, mereka dua pertiga.
“Kita menyuarakan hak kita, perlu tambah. Kita mahu Malaysia kekal selamanya,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 11 Sept berkata kerajaan bersetuju secara prinsip meningkatkan penyertaan serta nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, penentuan jumlah kerusi melibatkan SPR dan rundingan lanjut.
Rekod Hansard Dewan Rakyat pada Jun lalu turut menunjukkan Mustapha berkata SPR akan mengambil kira antaranya kepadatan penduduk, pertumbuhan pemilih, faktor geografi, saiz kawasan, pembangunan dan akses rakyat kepada wakil mereka dalam kajian persempadanan.
Mustapha berkata pertambahan kerusi bukan sekadar persoalan politik, tetapi turut berkait dengan perwakilan dan penyaluran pembangunan kepada rakyat.
“Jangan kita ikut budaya dalam atau luar negara, selesaikan masalah rakyat,” katanya.

