Mustapha yakin gelombang PH mula tembusi kubu kuat BN di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, yakin momentum sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin meningkat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, termasuk di beberapa kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Mustapha berkata, berdasarkan pemerhatian sepanjang minggu terakhir kempen, perubahan sentimen pengundi semakin jelas khususnya di Sri Menanti dan beberapa kawasan majoriti Melayu yang sebelum ini menjadi antara kekuatan tradisi BN.

“Alhamdulillah, kita melihat perkembangan yang amat positif khususnya di Sri Menanti pada minggu terakhir kempen.

“Kita juga melihat perubahan yang ketara di kawasan-kawasan yang selama ini dikenali sebagai kubu kuat UMNO dan BN. Ini memberikan keyakinan bahawa sokongan kepada PH semakin berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perubahan itu memberi harapan kepada PH untuk mencipta kejutan di beberapa kerusi yang sebelum ini sukar ditembusi.

Menurutnya, seluruh jentera PH kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan setiap penyokong keluar mengundi pada hari pengundian.

“Kita akan memastikan jentera terus bekerja sehingga saat akhir supaya momentum ini dapat diterjemahkan kepada kemenangan calon-calon PH,” katanya.

Berita Berkaitan