Nelayan jadi ‘mata dan telinga’ APMM jaga perairan negara

KUDAT: Komuniti nelayan bukan sekadar mencari rezeki di laut, malah memainkan peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam membantu menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata, maklumat daripada nelayan amat bernilai dalam membantu pihak berkuasa mengesan sebarang kejadian atau aktiviti mencurigakan di laut.

Menurutnya, kedudukan Kudat yang strategik dengan pelbagai aktiviti perikanan, pengangkutan laut dan perdagangan menjadikan kerjasama komuniti setempat amat penting.

“Saya menyeru masyarakat supaya tidak teragak-agak menyalurkan maklumat kepada APMM sekiranya mengetahui atau mengesan sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan perairan negara.

“Menjaga keselamatan perairan bukan tanggungjawab APMM semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama jabatan kerajaan, agensi penguatkuasaan, sektor korporat, persatuan nelayan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar ketika merasmikan Program Sahabat Maritim Zon Kudat 2026 di Esplanade Sidek, di sini, pada Selasa.

Mohd Khairulanuar turut mengingatkan nelayan dan pengguna laut supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menjalankan aktiviti di perairan.

Katanya, setiap bot perlu dipastikan berada dalam keadaan baik, selain pengguna diwajibkan mengambil langkah keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan, memantau keadaan cuaca dan menyediakan peralatan kecemasan mencukupi.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada PETRONAS, Hibiscus Petroleum, agensi kerajaan serta persatuan nelayan atas kerjasama menjayakan program berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pengeluaran PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Mohd Fariq Mohd Yasin berkata, komuniti nelayan dan industri minyak serta gas mempunyai kepentingan tersendiri dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

“Nelayan mencari dan menangkap ikan di laut, kami pula mencari dan menangkap minyak dan gas. Kita sama-sama penting untuk ekonomi negara.

“PETRONAS mengeluarkan minyak mentah yang diproses menjadi petrol dan diesel, manakala gas didaratkan dari pelantar untuk menjana elektrik yang digunakan rakyat,” katanya.

Mohd Fariq berharap hubungan antara komuniti nelayan dan industri minyak serta gas terus diperkukuh demi manfaat bersama.

Pada program itu, PETRONAS turut menyampaikan sumbangan peralatan perikanan dan barangan makanan kepada kira-kira 200 nelayan sekitar Kudat.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan