Nizam bawa krisis air Tawau ke Kabinet, Hajiji arah tindakan segera

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan air yang berlarutan di Tawau dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet Sabah pada Rabu lalu, dengan Ketua Menteri Hajiji Noor mengarahkan tindakan segera bagi membantu penduduk terjejas.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau membawa isu itu ke perhatian Kabinet susulan masalah kekurangan sumber air mentah akibat cuaca kering dan taburan hujan yang rendah.

Nizam yang juga ADUN Apas berkata, keadaan itu menjejaskan operasi rawatan serta pengagihan bekalan air kepada pengguna di Tawau.

“Saya telah membangkitkan masalah ini dalam Mesyuarat Kabinet kerana memahami kesulitan yang dihadapi penduduk Tawau, khususnya mereka yang masih berdepan gangguan bekalan air.

“Susulan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau mengambil tindakan lebih proaktif, termasuk mempergiat penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nizam, Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Joachim Gunsalam turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan memastikan Pengarah JANS memantau keadaan semasa dan menggerakkan segala keupayaan yang tersedia bagi membantu penduduk.

Beliau berkata, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara masih terjejas akibat masalah kualiti air mentah dari Sungai Tawau.

Katanya, hujan yang turun kebelakangan ini belum mencukupi untuk meningkatkan paras sungai secara ketara, sekali gus menyebabkan operasi loji belum dapat dipulihkan sepenuhnya.

“Dalam keadaan sekarang, penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki merupakan langkah mitigasi segera bagi membantu mengurangkan kesulitan penduduk,” katanya.

Nizam berkata, penghantaran bantuan air akan diteruskan mengikut kemampuan operasi semasa, dengan penyelarasan lebih teratur bagi memastikan kawasan terjejas mendapat perhatian.

Beliau turut memberi jaminan akan terus berhubung dengan kementerian dan JANS bagi memantau perkembangan bekalan air di Tawau.

“Keutamaan ketika ini adalah membantu meringankan beban penduduk sementara menunggu keadaan sumber air mentah dan operasi loji rawatan kembali pulih,” katanya.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan