Pelaburan RM70 juta perkukuh Pelabuhan Tawau
TAWAU: Pelabuhan Tawau kini diperkasakan dengan dua kren dermaga baharu bernilai RM70 juta bagi meningkatkan kecekapan pengendalian kargo dan memperkukuh daya saing sektor logistik Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelaburan menerusi Sabah Ports Sdn Bhd itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memodenkan infrastruktur maritim.
Menurut beliau, penggunaan kren baharu itu bakal mempercepatkan operasi pelabuhan, mengurangkan tempoh menunggu kapal serta meningkatkan kapasiti pengendalian kargo.
“Pelabuhan yang cekap amat penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negeri khususnya sektor perdagangan dan eksport,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kren baharu di Pelabuhan Tawau.
Hajiji berkata, penaiktarafan itu akan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Tawau sebagai pintu masuk perdagangan utama di Pantai Timur Sabah.

