Pemegang Kad DPP dilarang masuk Sabah, Sarawak dan Labuan
KUALA LUMPUR: Pemegang Kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) tidak dibenarkan memasuki Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, selain pergerakan mereka di Semenanjung turut tertakluk kepada kawalan imigresen.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, pemegang kad berkenaan yang diberikan Pas Khas mengikut Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 hanya dibenarkan berada di negeri tempat mereka didaftarkan.
Menurut kementerian itu, sebarang pergerakan ke negeri lain memerlukan kelulusan bertulis daripada Pengarah Imigresen Negeri.
“Kad DPP bukan dokumen perjalanan dan pemegangnya tidak dibenarkan memasuki Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan,” menurut jawapan bertulis KDN yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
KDN menjelaskan, Program DPP yang mula dilaksanakan pada 1 Januari lalu bertujuan mengambil alih fungsi pendaftaran pelarian daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) secara berperingkat.
Program itu membolehkan kerajaan membangunkan pangkalan data biometrik rasmi merangkumi pengesahan identiti, profil keselamatan dan maklumat lokasi bagi memperkukuh pemantauan terhadap golongan berkenaan.
KDN menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung jumlah warga Rohingya, penglibatan dalam jenayah, pemalsuan kad UNHCR, lokasi penempatan serta langkah kerajaan mengawal dan menguruskan pelarian.
Menurut kementerian itu, hanya pelarian yang sudah berada di Malaysia sebelum 1 Januari 2023 layak dipertimbangkan menyertai Program DPP bagi mengelakkan pelaksanaannya menjadi faktor tarikan kemasukan baharu.
Pelarian atau pemohon suaka yang memasuki negara secara tidak sah selepas tarikh berkenaan tidak akan dipertimbangkan dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan imigresen.
KDN turut menegaskan bahawa pemilikan Kad DPP tidak memberikan taraf pemastautin tetap atau menjadi laluan memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
“Mana-mana individu yang melanggar undang-undang atau syarat ditetapkan boleh dikenakan tindakan termasuk pembatalan pas dan pengusiran mengikut proses undang-undang,” menurut kementerian itu.
Sementara itu, rekod UNHCR sehingga 30 September lalu menunjukkan seramai 227,414 pelarian dan pemohon suaka berdaftar di Malaysia, dengan 205,273 orang atau 90.2 peratus berasal dari Myanmar, termasuk 132,400 etnik Rohingya.
Selangor mencatatkan taburan tertinggi pemegang kad UNHCR di Semenanjung dengan 74,028 orang atau 33 peratus, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 47,333 orang dan Pulau Pinang 25,357 orang.
Setakat 31 Oktober lalu, seramai 6,294 etnik Rohingya direkodkan berada di depot tahanan imigresen seluruh Semenanjung daripada keseluruhan 11,208 tahanan warga Myanmar.
Dalam perkembangan berkaitan, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 199 kes jenayah indeks membabitkan pelarian Myanmar dari 2022 hingga Ogos 2026.
PDRM turut merekodkan satu kes pemalsuan kad UNHCR di Kuala Lumpur yang membabitkan enam warga Myanmar, dengan kesemua individu berkenaan sudah dituduh di mahkamah.

