PGRS sokong Hajiji, gesa hak 40 peratus Sabah diselesaikan segera
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, supaya tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah diselesaikan segera.
Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata tuntutan berkenaan bukan perkara baharu atau ihsan daripada mana-mana pihak, sebaliknya hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pendirian Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini menunjukkan kerajaan negeri mahu isu berkenaan diterjemahkan kepada penyelesaian nyata dan bukan sekadar terus dibincangkan.
PGRS turut mengalu-alukan peningkatan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini, namun menegaskan bayaran berkenaan tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan.
“Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya. Kita hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Nizam berkata parti itu turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat serta usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan.
Katanya, PGRS menyokong pendekatan Hajiji yang memilih rundingan dan kerjasama kerajaan dengan kerajaan, namun kekal tegas dalam mempertahankan hak Sabah.
Menurutnya, isu hak Sabah perlu mengatasi kepentingan politik kepartian dan tuntutan yang masih tertangguh di bawah MA63 perlu terus diperjuangkan sehingga diselesaikan.

