PH Sabah bantah bubar Parlimen awal, gesa Zahid jangan ganggu Anwar
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah membidas cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan ketika timbul spekulasi mengenai rombakan Kabinet.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata cadangan itu tidak wajar ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, melaksanakan reformasi dan menangani kebajikan rakyat.
Menurutnya, sebarang kekosongan jawatan dalam Kabinet boleh ditangani oleh Anwar mengikut proses sewajarnya tanpa perlu mengadakan pilihan raya umum lebih awal.
“Jangan ganggu PMX perkasa ekonomi negara dan jaga kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mustapha turut mempersoalkan pendirian Zahid yang disifatkannya bercanggah dengan komitmen terdahulu Presiden Umno itu untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Katanya, perjanjian kerjasama yang dimeterai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut menetapkan kerjasama politik bagi tempoh lima tahun Parlimen ke-15.
“Kerajaan Madani masih boleh meneruskan pentadbirannya sehingga Disember 2027. Baki penggal ini wajar dimanfaatkan untuk menunaikan amanah rakyat,” katanya.
Mustapha berkata, pembubaran Parlimen lebih awal berisiko mengganggu pelaksanaan reformasi institusi dan usaha penambahbaikan tadbir urus yang sedang dijalankan kerajaan.
Beliau menegaskan tumpuan kerajaan ketika ini sepatutnya diberikan kepada isu kos sara hidup, peningkatan mutu perkhidmatan awam dan usaha memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, Mustapha merujuk keputusan S&P Global Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A− dengan tinjauan stabil sebagai petunjuk daya tahan ekonomi negara.
Katanya, kestabilan politik perlu terus dipelihara bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.
“Jangan kerana ghairah mengejar kepentingan politik jangka pendek, kita pertaruhkan keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, PH Sabah menyeru semua pihak menghormati mandat kerajaan sedia ada dan memberi ruang kepada Anwar meneruskan agenda ekonomi, reformasi serta kebajikan rakyat.
— SABAH NEWS TODAY

