Program Solar Rakyat bantu pengguna jimat bil elektrik

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyambut baik pelancaran Program Solar Rakyat oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), yang disifatkan mampu mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu di negeri ini.

Pengerusinya, David Chan, berkata program itu menawarkan rebat pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) kepada pengguna kediaman, sekali gus mengurangkan kos permulaan untuk beralih kepada tenaga hijau.

Beliau berkata, pengguna yang layak dengan bekalan elektrik satu fasa akan menerima rebat RM1,000 bagi setiap kilowatt (kW) sehingga maksimum 4kW.

Menurutnya, selain membantu mengurangkan bil elektrik, program itu turut membolehkan pengguna menjana pendapatan melalui penjualan lebihan tenaga ke grid Sabah Electricity menerusi perjanjian selama 12 tahun.

David turut menggesa orang ramai yang layak memanfaatkan inisiatif itu dan berharap lebih banyak program seumpamanya diperkenalkan pada masa depan.

Berita Berkaitan