Projek pembinaan di Gunung Kinabalu sudah mendapat kelulusan
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menjelaskan aktiviti pembinaan struktur di Gunung Kinabalu yang tular di media sosial baru-baru ini adalah sebahagian daripada pembangunan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) yang sudah mendapat kelulusan pihak berkaitan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pembangunan itu membabitkan penyediaan kemudahan penginapan asas bagi menyokong latihan khusus di altitud tinggi dan aktiviti pendakian gunung.
Beliau berkata, projek berkenaan bukan pembangunan baharu kerana cadangannya sudah dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015.
“Bagaimanapun, pelaksanaannya ditangguhkan susulan kejadian gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun berkenaan.
“Inisiatif ini kemudiannya dihidupkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025 sebagai sebahagian daripada usaha Sabah mempelbagaikan produk pelancongan serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pendakian gunung yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Jafry berkata, projek HATC sudah memperoleh kelulusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah selain mendapat sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu.
Beliau menegaskan sebarang pembangunan di Gunung Kinabalu perlu mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar, warisan budaya serta kepercayaan masyarakat pribumi.
“Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan. Ia merupakan sebahagian penting daripada warisan semula jadi dan budaya Sabah yang mempunyai hubungan erat dengan tradisi, kepercayaan serta identiti masyarakat pribumi kita.
“Sebarang pembangunan dalam persekitaran ini perlu mengiktiraf dan menghormati nilai-nilai tersebut,” katanya.
Mengulas kebimbangan terhadap kemungkinan kesan pembinaan kepada alam sekitar, beliau menjelaskan projek itu menggunakan bahan binaan ringan, pasang siap dan modular bagi meminimumkan gangguan terhadap persekitaran.
“Perlindungan alam sekitar kekal menjadi keutamaan asas. Kami tidak akan berkompromi terhadap integriti ekologi Gunung Kinabalu semata-mata untuk mengejar pembangunan pelancongan,” katanya.
Jafry berkata, kementeriannya akan memastikan semua aktiviti pembinaan mematuhi spesifikasi yang diluluskan, keperluan alam sekitar serta undang-undang dan peraturan berkaitan.
Terdahulu, gambar memaparkan aktiviti pembinaan struktur di kawasan Gunung Kinabalu tular di media sosial sehingga menimbulkan persoalan orang ramai mengenai tujuan dan kesan pembangunan berkenaan.
— SABAH NEWS TODAY

