PRU15: Tidak mustahil GRS-BN menang 15 kerusi Parlimen di Sabah – Bung Moktar
KINABATANGAN: Tidak mustahil untuk Barisan Nasional (BN) dan rakan kerjasamanya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 15 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Saya ada keyakinan (menang 15 kerusi) kerana saya melihat iaĀ bukan sesuatu yang mustahil dan Insya-Allah mungkin lebih daripada 15 kerusi pun kedua-dua parti boleh dapat (menang),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program santai bersama rakyat di Dewan Kampung Suan Lamba di siniĀ hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen di Sabah menerusi kerjasama dengan GRS pada PRU15.
Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar berkataĀ situasi berlaku di Tenom dan Beluran tidak menjejaskan peluang BN untuk memperoleh kemenangan di kedua-dua kerusi berkenaan.
“Saya yakin BN akan menang di Tenom dan Beluran,” katanya.
Pada 11 Nov, Bung Moktar dilaporkan menggesa GRS mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Datuk Rubin Balang yang didakwanya menjadi dalang meletakkanĀ anaknya Riduan Rubin sebagai calon Bebas dan kemudianĀ menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sekali gus dianggapĀ melanggar kerjasama GRS-BN pada PRU15.
Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pula bertindak mempertahankan kerusi Parlimen Beluran dengan tiket Perikatan Nasional, menyebabkan pertembungan dengan calon BN Benedict Asmat di kawasan tersebut.

