PUS bantu usahawan Semporna akses pembiayaan, tembusi pasaran lebih luas
SEMPORNA: Persatuan Usahawan Semporna (PUS) komited membantu usahawan tempatan mendapatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, latihan keusahawanan dan peluang pemasaran bagi memperkukuh daya saing perniagaan mereka.
Penaung PUS, Datin Saadiah Abdul Rashad berkata, persatuan itu berperanan sebagai penghubung strategik antara usahawan dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memastikan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan secara optimum.
Menurutnya, pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan boleh diteroka, termasuk geran mesin, peralatan dan pembangunan produk menerusi program SME-UP di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR).
“Usahawan juga boleh mendapatkan maklumat mengenai kemudahan pembiayaan S-SEED serta program latihan keusahawanan RISE yang ditawarkan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).
“Peluang ini perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, menambah baik kualiti produk dan mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa PUS Bilangan 2/2026 serta Majlis Meraikan Sukarelawan PUS di AKR Grill Batu 2, di sini.
Saadiah berkata, usahawan wanita turut berpeluang mendapatkan sokongan menerusi program latihan dan pembangunan keusahawanan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), manakala SEDCO menyediakan kemudahan premis perniagaan.
Di peringkat Persekutuan pula, katanya, usahawan boleh meneroka kemudahan yang ditawarkan TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi DanaNITA, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Bagaimanapun, beliau mengingatkan usahawan supaya membuat penilaian teliti sebelum mendapatkan pinjaman perniagaan, termasuk mengambil kira kadar faedah atau keuntungan, kemampuan pembayaran balik dan keperluan sebenar operasi.
Menurutnya, pemilihan pembiayaan yang bersesuaian penting bagi memastikan pertumbuhan perniagaan dapat dilaksanakan secara mampan tanpa membebankan kedudukan kewangan pengusaha.
Dalam usaha memperluas pasaran, Saadiah menggalakkan usahawan Semporna menyertai program perdagangan dan promosi seperti Sabah Big Sales bagi membina jaringan perniagaan serta memperkenalkan produk kepada pembeli baharu.
Katanya, penyertaan dalam program seumpama itu turut membuka peluang kerjasama dengan usahawan tempatan dan antarabangsa, sekali gus menjadi landasan untuk meneroka pasaran eksport.
“Peluang seperti ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh penjenamaan dan pemasaran produk, selain membuka ruang kepada usahawan meneroka pasaran eksport.
“Usahawan Semporna perlu merebut peluang yang ada supaya produk tempatan dapat berkembang ke pasaran lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.
Saadiah turut mencadangkan penubuhan beberapa biro khusus mengikut bidang keusahawanan dalam PUS bagi memperkemas pengurusan dan meningkatkan keberkesanan program pembangunan ahli.
Menurutnya, setiap biro boleh diterajui jawatankuasa dengan sokongan ahli yang mempunyai kepakaran berkaitan supaya pelaksanaan aktiviti lebih tersusun dan memenuhi keperluan usahawan.
Beliau berkata, pendekatan itu juga mampu memperkukuh kerjasama antara ahli serta membantu persatuan mengenal pasti peluang perniagaan mengikut sektor masing-masing.
Turut hadir Pengerusi PUS, Mohd Saiful Mad Sahirun; Timbalan Pengerusi, Saridah Ab Lakata; Naib Pengerusi, Kalsum Juhuri serta barisan ahli jawatankuasa persatuan.
Pada majlis berkenaan, PUS turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sukarelawan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen mereka dalam menjayakan aktiviti persatuan.
— SABAH NEWS TODAY

