RM1.5 bilion belum capai jumlah sebenar hak 40 peratus Sabah – Mustapha

TAWAU: Bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah belum mencapai jumlah sebenar tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau menjelaskan, bayaran sementara itu merupakan hasil rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, jumlah berkenaan dipersetujui sebagai bayaran interim berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan, sementara rundingan mengenai nilai sebenar hak Sabah masih diteruskan.

“Memang dalam Perlembagaan, 40 peratus itu perlu dibayar. Cuma itulah sebabnya Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 diwujudkan.

“Ini adalah hasil perundingan dan keputusan bersama Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri.

“Setakat ini, sementara kita membayar sepenuhnya, kita bayar secara interim dahulu, RM1.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.

Mustapha berkata, jumlah sebenar tuntutan itu masih belum dimuktamadkan meskipun terdapat pelbagai pengiraan berdasarkan kutipan hasil agensi Persekutuan, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam.

Katanya, kedudukan fiskal negara turut menjadi pertimbangan dalam menentukan kemampuan kerajaan melaksanakan pembayaran berkenaan.

“Yang itu masih dalam perundingan. Maksudnya, nilainya pun belum lagi ditetapkan.

“Kemampuan Kerajaan Persekutuan setakat ini RM1.5 bilion dahulu. Itu yang kita bayar secara interim, belum lagi mencapai jumlah sebenar,” katanya.

Mengulas kelewatan memuktamadkan tuntutan berkenaan, Mustapha berkata, kerajaan kini berdepan tekanan kewangan susulan pelbagai krisis global yang memberi kesan kepada perbelanjaan negara.

Beliau berkata, keperluan subsidi bahan api meningkat daripada RM15 bilion kepada RM40 bilion, sekali gus memerlukan tambahan RM25 bilion bagi mengurangkan kesan kenaikan harga terhadap rakyat.

Menurutnya, kerajaan perlu mengimbangi kemampuan kewangan negara dengan tanggungjawab memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Bagaimanapun, Mustapha menegaskan bayaran interim RM1.5 bilion bukan penyelesaian muktamad terhadap tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Katanya, rundingan antara kedua-dua kerajaan akan diteruskan bagi menentukan jumlah sebenar yang perlu dibayar berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan