RM40 juta disalur, 27,781 pelajar Sabah terima manfaat TPNS
KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) menyalurkan RM40 juta bantuan kepada 27,781 pelajar di seluruh negeri sejak dilancarkan pada Jun 2022.
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, antara Januari hingga Ogos tahun ini, 11,383 penerima mendapat bantuan berjumlah RM15.89 juta.
Katanya, TPNS menjadi antara saluran kerajaan negeri untuk memperluas akses bantuan pendidikan kepada anak Sabah.
Pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application hari ini, 362 penerima sekitar Kota Kinabalu menerima bantuan berjumlah RM6.79 juta.
Hajiji berkata pembangunan negeri bukan hanya bergantung kepada infrastruktur fizikal, tetapi turut memerlukan generasi berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu bersaing.
Kerajaan negeri turut melancarkan TPNS Smart Application bagi membolehkan permohonan bantuan dibuat sepenuhnya secara dalam talian serta statusnya disemak secara masa nyata.
Hajiji turut menggesa syarikat swasta dan korporat yang beroperasi di Sabah menyumbang kepada TPNS menerusi CSR bagi membantu memperkukuh sokongan pendidikan kepada pelajar negeri itu.

