RM438 juta diumum, berapa sebenarnya Sabah dapat? – Madius

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mempersoalkan pengagihan peruntukan RM438 juta di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dalam Belanjawan 2027, sambil menuntut kerajaan memperincikan jumlah sebenar yang bakal diterima Sabah.

Madius berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu menjelaskan secara terbuka pecahan peruntukan berkenaan, termasuk jumlah yang disediakan khusus untuk kawasan Parlimen Tuaran.

“Berapa untuk Sabah dan Tuaran? Nyatakan pecahan bantuan rumah dan peningkatan pendapatan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi KKDW di Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau turut menuntut penjelasan mengenai jumlah keluarga yang masih menunggu bantuan perumahan serta berapa ramai yang dijangka menerima bantuan sepanjang 2027.

“Berapa keluarga masih menunggu bantuan rumah, dan berapa akan dibantu tahun depan?” soalnya.

Menurut Madius, pengumuman peruntukan besar tidak membawa makna sekiranya rakyat tidak mengetahui jumlah sebenar yang disalurkan ke kawasan mereka dan siapa yang bakal menerima manfaat.

Katanya, kerajaan perlu memastikan setiap peruntukan mempunyai sasaran penerima yang jelas, khususnya bagi membantu keluarga berpendapatan rendah yang masih berdepan masalah perumahan dan peluang meningkatkan pendapatan.

Madius menegaskan, kejayaan sesuatu program kerajaan tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah wang yang diumumkan dalam belanjawan, sebaliknya perlu dibuktikan melalui perubahan sebenar dalam kehidupan rakyat.

“Tuan Pengerusi, rakyat mahu jalan selamat, air sampai, elektrik tersedia dan rumah selamat didiami,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa KKDW menetapkan sasaran pelaksanaan serta tarikh penyelesaian yang jelas bagi setiap program dan projek supaya keberkesanan perbelanjaan kerajaan dapat dipantau.

Katanya, ketelusan dalam pengagihan peruntukan penting bagi memastikan rakyat mengetahui sejauh mana komitmen kerajaan diterjemahkan kepada penyelesaian masalah asas, terutama di kawasan luar bandar Sabah.

“Pastikan setiap peruntukan membawa perubahan kepada kehidupan mereka. Selesai untuk rakyat,” tegasnya.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan