Rosalam Sarbatly dilantik Naib Canselor UMS ke-8
KOTA KINABALU: Profesor Dr Rosalam Sarbatly dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kelapan, berkuat kuasa 23 November 2026.
Pelantikan itu diumumkan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi UMS, yang turut menzahirkan harapan agar kepimpinan baharu tersebut membawa universiti berkenaan ke tahap lebih tinggi.
UMS berharap pelantikan Rosalam dapat membuka ruang kepada penerokaan potensi baharu, selain memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang disegani.
Rosalam sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan kimia, teknologi membran, nanofiber serta penyelidikan berkaitan kelestarian alam sekitar.
Rosalam memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari University of Bath, United Kingdom pada 2006.
Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Proses serta Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kepakaran penyelidikannya merangkumi penulenan air, rawatan air sisa serta pembangunan teknologi mampan yang mempunyai aplikasi dalam sektor industri dan alam sekitar.
UMS turut berharap amanah kepimpinan yang diberikan kepada Rosalam membawa lebih banyak kejayaan kepada universiti serta seluruh warganya.

