Ruji sokong bayaran RM900 juta dipercepat, mahu projek dilaksana segera
KOTA KINABALU: Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ruji Ubi menyokong gesaan supaya kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembayaran baki pemberian khas interim RM900 juta kepada Sabah sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual bermula 4 Disember depan.
Beliau berkata, tambahan RM900 juta itu berpotensi menjadikan Belanjawan Sabah 2027 antara yang terbesar dalam sejarah negeri, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak program pembangunan untuk rakyat.
Menurutnya, peruntukan pembangunan Persekutuan yang besar di Sabah, ditambah dengan jangkaan belanjawan negeri yang tinggi pada 2027, mampu merancakkan pembangunan di seluruh negeri.
Bagaimanapun, Ruji menegaskan jumlah peruntukan yang besar sahaja tidak menjamin kejayaan sekiranya pelaksanaan projek tidak diurus dengan cekap.
Bekas Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu berkata, semua agensi berkaitan perlu meningkatkan penyelarasan bagi memastikan peruntukan dibelanjakan dalam tahun semasa dan projek dilaksanakan segera mengikut kos diluluskan.
“Nilai peruntukan yang besar memerlukan komitmen penyelarasan pelaksanaan yang tinggi daripada semua pihak agar peruntukan dapat dibelanjakan pada tahun semasa dan projek dilaksanakan segera berdasarkan kos yang diluluskan,” katanya ketika diminta mengulas isu pembayaran baki pemberian khas interim berkenaan.
Ruji yang juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di beberapa kementerian berkata, antara cabaran utama ialah memastikan manfaat peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat.
Katanya, pendekatan pemantauan terperinci atau micro-management boleh dilaksanakan jika perlu, termasuk mewajibkan laporan berkala oleh Pegawai Penguasa Projek (Superintending Officer atau SO) kepada pihak berkepentingan.
Langkah itu, menurutnya, penting bagi membolehkan keputusan segera dibuat apabila projek berdepan masalah di tapak pembinaan.
“Kejayaan sebenar terletak pada kecekapan agensi pelaksana, ketelusan tender serta ketegasan dalam memantau setiap projek agar ia siap mengikut jadual dengan kualiti yang sepatutnya.
“Bagi rakyat, pelaksanaan bajet adalah penting bagi memastikan perancangan kewangan dan dasar kerajaan diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” katanya.
Semalam, Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menggesa supaya baki RM900 juta daripada keseluruhan pemberian interim RM1.5 bilion diselesaikan segera bagi membolehkan jumlah berkenaan dimasukkan ke dalam hasil kerajaan negeri untuk membiayai program tahun depan.
Mustapha turut menyatakan hasrat membawa perkara itu kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi mempercepatkan penyelesaian pembayaran.
Gesaan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat PH Sabah yang turut membincangkan perkembangan isu penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

