Sabah FC buru kemenangan kedua di Likas malam ini
KOTA KINABALU: Sabah FC memburu kemenangan kedua berturut-turut apabila menerima kunjungan Penang FC dalam aksi Liga Super 2026/2027 di Stadium Likas, malam ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata, kemenangan 3-1 ke atas Star City FC pada aksi pembukaan memberi permulaan positif, namun pemain tidak boleh terlalu selesa dengan keputusan tersebut.
Menurutnya, Penang merupakan pasukan yang kukuh, tersusun serta berbahaya terutama menerusi situasi bola mati.
“Kami berpuas hati kerana memulakan musim dengan kemenangan dan berjaya menunjukkan gaya permainan yang kami mahukan. Tetapi sekarang kami perlu melihat ke hadapan.
“Penang ialah pasukan yang berbeza dan perlawanan ini juga akan menjadi cabaran yang berbeza,” katanya.
Garrido mahu pemain mengekalkan intensiti, disiplin dan keberanian sepanjang perlawanan bagi memastikan momentum positif dapat diteruskan.
“Kami perlu konsisten, agresif dan terus berusaha sehingga wisel penamat,” katanya.
Beliau turut mengakui tempoh pemulihan yang singkat memerlukan pengurusan pemain dilakukan dengan baik, namun persaingan dalam latihan memberi lebih banyak pilihan untuk menentukan kesebelasan utama.
Menurutnya, sasaran mengutip enam mata daripada dua perlawanan pertama sememangnya penting, namun proses membangunkan pasukan dan memperkemaskan identiti permainan tetap menjadi keutamaan.
“Kami mahu menang, tetapi yang paling penting ialah cara kami bermain dan usaha untuk terus membangunkan pasukan ini,” katanya.
Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas malam ini dengan sepak mula jam 7.30 malam.

