Sabah mahu kawalan maritim Kudat diperkukuh susulan aktiviti ketenteraan
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu kawalan keselamatan sempadan maritim negeri, khususnya di perairan Kudat termasuk Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, diperkukuh susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkembangan itu memerlukan semua pihak sentiasa berwaspada terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengukuhan kawalan sempadan, termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.
“Saya sendiri telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri tentang keperluan penambahan anggota keselamatan di kawasan perairan Kudat dan beliau memberi respons yang baik.
“Keselamatan merupakan asas penting yang menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Sehubungan dengan keutamaan keselamatan dan pertahanan yang digariskan di bawah Belanjawan 2027, kerajaan negeri Sabah menyambut baik pembentangan oleh Perdana Menteri yang menekankan pengukuhan kawalan sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut meminta agensi bertanggungjawab mempertingkatkan pemantauan terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang kini melanda beberapa kawasan di Sabah, khususnya berhampiran sempadan Indonesia.
Menurutnya, keadaan itu boleh menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi serta kelancaran operasi keselamatan sekiranya tidak dipantau dan ditangani secara berkesan.
“Situasi kini memerlukan pemantauan berterusan, khususnya di kawasan yang terletak berhampiran kawasan sempadan Indonesia.
“Sehubungan itu, saya meminta agensi-agensi berkaitan untuk sentiasa menyelaraskan perkongsian maklumat berhubung kualiti udara dan amaran cuaca, di samping memantau perkembangan situasi jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan agensi keselamatan supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan sosiopolitik global dan serantau yang semakin dinamik serta kemungkinan kesannya terhadap ketenteraman awam di Sabah.
Beliau merujuk kepada situasi ketidakpuasan awam dan ketegangan politik di Perancis serta protes di Indonesia berhubung pengurusan isu jerebu yang menurutnya mencetuskan sentimen tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Katanya, perkembangan itu wajar dijadikan peringatan bahawa isu kesejahteraan rakyat dan kepimpinan kerajaan boleh mempengaruhi sentimen masyarakat serta kestabilan sosial.
Sehubungan itu, beliau meminta agensi berkaitan terus memantau perkembangan semasa, termasuk penularan maklumat dan sentimen di media sosial.
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi mengenal pasti sebarang perkara yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat di Sabah.
— SABAH NEWS TODAY

