Sabin Samitah, Farahana Rabidin dilantik anggota Lembaga LHDN

PUTRAJAYA : Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Penggubal Undang-Undang Parlimen, Farahana Rabidin dilantik sebagai Anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkuat kuasa Selasa lalu.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sabin dilantik bagi mewakili Kerajaan Negeri Sabah, manakala Farahana mewakili Jabatan Peguam Negara.

Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar pula dilantik semula sebagai anggota lembaga itu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Ogos hingga 31 Julai 2028.

Sabin sebelum ini pernah menerajui LHDN sebagai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional sebelum dilantik sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

Menurut LHDN, pengalaman luas Sabin dalam bidang percukaian, pencegahan jenayah kewangan dan pentadbiran awam dijangka membantu memperkukuh hala tuju serta tadbir urus agensi itu.

LHDN berkata pengalaman dan kepakaran Farahana dalam bidang perundangan pula dapat menyumbang kepada pengukuhan tadbir urus serta pertimbangan berkaitan dasar dan undang-undang.

“LHDN berharap pengalaman dan kepakaran yang dibawa dapat memperkukuh tadbir urus dan menyokong usaha berterusan LHDN dalam memperkasakan pentadbiran hasil negara,” menurut kenyataan itu.

Berita Berkaitan