‘Sampai kena bawa air untuk ke tandas!’ – Masalah air Tawau cetus kemarahan
TAWAU: “Zaman sekolah tahun 90-an dulu pun tak pernah sampai kena bekal air untuk ke tandas!”
Demikian luahan seorang wanita yang kecewa dengan masalah bekalan air di Tawau selepas tular mesej mendakwa ibu bapa diminta membekalkan air kepada anak masing-masing untuk kegunaan tandas di sekolah.
Wanita dikenali sebagai Roziana Rosli menerusi hantaran di Threads mempersoalkan masalah bekalan air di daerah itu yang didakwanya berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu tanpa penyelesaian menyeluruh.
“Sebegini parah masalah air di Tawau, Sabah?!
“Lebih 10 tahun dah tinggal di Tawau, isu air tak pernah selesai. Bayangkan penduduk asal dah hadap isu sama berapa lama?” katanya.
Murid didakwa perlu bawa air sendiri
Dalam hantaran berkenaan, Roziana turut berkongsi tangkap layar mesej yang memaklumkan ketiadaan bekalan air di sebuah sekolah.
Mesej itu meminta ibu bapa menyediakan air untuk kegunaan tandas selain bekalan air minuman kepada anak masing-masing.
“Memandangkan di sekolah tiada bekalan air, diminta ibu bapa bekalkan anak-anak air untuk ke tandas.
“Sila bekalkan juga air minum,” menurut mesej berkenaan.
Bagaimanapun, identiti sekolah terbabit, tarikh mesej dikeluarkan dan tempoh gangguan bekalan air tidak dinyatakan.
Dakwaan mengenai keadaan sebenar di sekolah itu juga belum mendapat pengesahan rasmi.
‘Jabatan Air tiada penyelesaian?’
Roziana turut mempersoalkan kemampuan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menangani masalah bekalan air yang menurutnya sudah terlalu lama membelenggu penduduk Tawau.
Beliau meluahkan rasa hairan apabila masalah itu didakwa semakin serius sehingga murid sekolah perlu membawa bekalan air sendiri untuk kegunaan tandas.
“Jabatan Air Sabah memang tiada idea untuk selesaikan masalah ini yang dah bertahun lamanya atau tiada duitnya?
“Aku di zaman sekolah dalam tahun 90-an dulu pun tak pernah lagi kes sampai kena bekal air cebok,” katanya.
Hantaran itu sekali gus mengundang perhatian terhadap masalah bekalan air di Tawau, khususnya kesannya kepada keperluan harian penduduk dan urusan persekolahan.
Setakat ini, belum ada maklum balas rasmi daripada JANS mahupun pihak sekolah berhubung dakwaan yang dibangkitkan menerusi hantaran berkenaan.
— SABAH NEWS TODAY

