Seludup 3 tan dadah, Azis gesa polis buru dalang tanpa kira pangkat

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman menggesa polis memburu dalang sindiket penyeludupan dadah bernilai RM156 juta tanpa mengira pangkat, kedudukan atau pengaruh politik.

Beliau berkata, pendedahan Menteri Dalam Negeri mengenai tiga tan dadah yang dipercayai diseludup menerusi 21 transaksi menggunakan aset dan kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan negara.

Katanya, siasatan perlu merangkumi kemungkinan wujudnya unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan perlindungan daripada individu berpengaruh.

“Jangan hanya menangkap pengangkut dadah. Buru dalangnya, bongkar keseluruhan rangkaiannya, siasat aliran kewangannya dan ambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terbukti melindungi kegiatan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Azis yang juga Ketua Warisan Sepanggar berkata, sekiranya terdapat bukti pembabitan ahli politik dalam sindiket dadah, polis tidak seharusnya teragak-agak mengambil tindakan.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri memberi jaminan kepada agensi penguatkuasaan untuk menjalankan siasatan tanpa tekanan atau campur tangan politik.

“Sekiranya bukti membawa kepada individu yang berada di kedudukan tertinggi dalam kerajaan sekalipun, teruskan siasatan dan bawa mereka ke muka pengadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Berita Berkaitan