‘Sepanggar saya pertahan hingga titik peluh terakhir’ – Mustapha
TAWAU: Ketika pembahagian kerusi Parlimen antara parti politik di Sabah masih belum dimuktamadkan, Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud menyatakan hasratnya untuk terus mempertahankan kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu menegaskan pendiriannya ketika ditanya pemberita mengenai tuntutan kerusi dan persediaan parti politik menghadapi pilihan raya akan datang.
“Yang saya boleh pastikan, Sepanggar saya akan pertahankan sehingga titik peluh yang terakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau, hari ini.
Kenyataan itu dibuat ketika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyuarakan hasrat untuk bertanding sebahagian besar kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
GRS mahu 15 daripada 25 kerusi
Mustapha berkata, berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung GRS, gabungan itu berhasrat bertanding 15 daripada keseluruhan 25 kerusi Parlimen di Sabah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan jumlah tersebut belum dipersetujui sebagai pembahagian kerusi muktamad.
“Yang saya maklum, yang telah disebut oleh Setiausaha Agung GRS ialah 15 kerusi.
“Di Sabah ini ada 25 kerusi Parlimen. Jadi, itu hasrat GRS untuk bertanding 15 kerusi.
“Tapi itu pun asas perundingan, bukan ketetapan,” katanya.
Menurut Mustapha, setiap parti politik mempunyai keinginan untuk meletakkan calon, namun keputusan akhir perlu dibuat melalui rundingan.
Beliau berkata, kekuatan parti di setiap kawasan, kemampuan jentera dan sokongan pengundi perlu menjadi pertimbangan utama.
“Ini parti-parti politik. Teras kewujudannya untuk bertanding.
“Kalau kita kata parti ini tidak mahu bertanding, mustahillah.
“Tapi akhirnya kita kena duduk di meja rundingan, bincang hati ke hati dan tengok kekuatan masing-masing,” katanya.
Tawau, Kalabakan belum diputuskan
Ditanya mengenai kedudukan kerusi Parlimen Tawau dan Kalabakan, Mustapha berkata, belum ada keputusan mengenai parti yang akan bertanding di kedua-dua kawasan itu.
Katanya, beliau tidak boleh membuat ketetapan awal kerana keputusan berkenaan perlu dipersetujui melalui rundingan antara parti.
“Kita pun tidak pasti. Itu pun nanti berunding.
“Saya tidak boleh menetapkan bahawa ini kepunyaan parti ini, parti itu.
“Tapi itu memang akan ada rundingan antara parti nanti dan kita lihat kekuatan masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengakui wujudnya hasrat daripada peringkat cabang parti untuk bertanding di kawasan tertentu.
Namun, Mustapha berkata, tuntutan sedemikian perlu dinilai berdasarkan kekuatan sebenar parti dan jentera pilihan raya.
Sepanggar kekal menjadi sasaran
Walaupun menegaskan pembahagian kerusi masih terbuka untuk rundingan, Mustapha tidak menyembunyikan hasratnya untuk mempertahankan Sepanggar.
Beliau memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada PRU15 pada 2022 atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Kenyataan Mustapha itu sekali gus memperlihatkan bahawa rundingan kerusi antara parti di Sabah dijangka menjadi antara perkara penting menjelang PRU16.
Setakat kenyataan itu dibuat, belum ada keputusan muktamad mengenai pembahagian 25 kerusi Parlimen Sabah antara parti yang terlibat dalam rundingan.
— SABAH NEWS TODAY

