Shahelmey gesa mansuh kuasa menteri beri ‘arahan am’ kepada TH
KUALA LUMPUR: Kuasa menteri memberikan “arahan am” kepada Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dimansuhkan bagi memastikan institusi itu mempunyai kebebasan lebih luas dalam menguruskan operasi dan kewangannya secara profesional.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pindaan terhadap Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) penting untuk mewujudkan sempadan jelas antara kuasa eksekutif dan tanggungjawab lembaga pengarah.
Beliau berkata, pengurusan TH perlu dibudayakan dengan etika korporat berteraskan prestasi dan syariah, manakala pelantikan ahli lembaga pengarah pula harus dibuat berdasarkan merit dan kepakaran.
Shahelmey turut mencadangkan individu profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perakaunan serta kewangan Islam diberi keutamaan menganggotai lembaga dan pengurusan tertinggi TH.
Katanya, tanggungjawab terhadap pengurusan kewangan seharusnya diberikan sepenuhnya kepada Lembaga Tabung Haji menerusi jawatankuasa khusus, sekali gus mengurangkan ruang campur tangan politik dalam keputusan kewangan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, dapatan berkaitan penilaian aset serta pengagihan hibah bagi tempoh 2014 hingga 2017 menunjukkan kepentingan memastikan setiap keputusan kewangan dibuat berdasarkan disiplin perakaunan dan penelitian profesional.
Sehubungan itu, Shahelmey mahu pindaan menyeluruh Akta 535 disegerakan bagi memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti TH serta mengelakkan kelemahan sama berulang pada masa depan.

