SMK Pengiran Omar 2 kini dikenali sebagai SMK Sipitang

SIPITANG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengiran Omar 2 secara rasmi menggunakan nama baharu, SMK Sipitang, sempena Majlis Citra Gemilang Apresiasi 2026 yang diadakan di sini.

Pengisytiharan nama baharu sekolah berkenaan disempurnakan Pengerusi Sabah Development Berhad, Datuk Dr Yusof Yacob, dalam majlis yang turut meraikan Apresiasi Tingkatan Lima, Jamuan Akhir Tahun dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 sekolah itu.

Berucap pada majlis berkenaan, Yusof menyambut baik penukaran nama tersebut yang disifatkan sebagai satu perkembangan bermakna dalam sejarah pendidikan daerah Sipitang.

Menurutnya, penubuhan sekolah berkenaan sejak 20 tahun lalu merupakan antara usaha kerajaan untuk memenuhi keperluan pendidikan masyarakat setempat, khususnya dalam menyediakan akses pendidikan menengah kepada generasi muda.

“Penubuhan sekolah ini sejak dua dekad lalu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan anak-anak di daerah Sipitang mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berharap SMK Sipitang akan terus mencatat kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah pelajar, sekali gus melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing.

Katanya, perubahan nama itu juga diharap menjadi pemangkin semangat baharu kepada warga sekolah untuk meningkatkan pencapaian dan mengharumkan nama daerah Sipitang pada peringkat negeri serta kebangsaan.

Majlis berkenaan turut menjadi platform menghargai pencapaian pelajar Tingkatan Lima, selain meraikan perjalanan dua dekad sekolah itu dalam menyediakan pendidikan kepada masyarakat setempat.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Sipitang, Zulkifle Kassim; Pengetua SMK Sipitang, Ramlah Ag Ali dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sipitang, Al Khalil Abdul Jari.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan