Spesies kulat baharu ditemui di hutan dipulihkan Lahad Datu

LAHAD DATU: Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengenal pasti spesies baharu kulat entomopatogenik, Akanthomyces infaproensis sp. nov., di kawasan Projek Pemulihan Hutan Hujan INFAPRO berhampiran Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Lahad Datu.

Penemuan itu memberi gambaran bahawa kawasan hutan yang melalui proses pemulihan masih mempunyai nilai biodiversiti yang tinggi dan berpotensi menyimpan spesies yang belum pernah didokumentasikan secara saintifik.

Spesies berkenaan ditemukan menjangkiti rama-rama dewasa pada bahagian bawah daun, dengan dua spesimen dikumpulkan pada 12 Mac 2024.

Analisis morfologi dan filogenetik molekul menggunakan lima penanda genetik menunjukkan kedua-dua spesimen membentuk garis keturunan tersendiri, sekali gus menyokong pengiktirafannya sebagai spesies baharu.

Nama infaproensis diberikan sempena kawasan INFAPRO, lokasi spesies itu ditemukan.

Setakat ini, spesies berkenaan hanya diketahui terdapat di kawasan tersebut.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Phytotaxa pada 28 Ogos lalu melibatkan penyelidik UMS bersama Kolej Universiti Yayasan Sabah dan Yayasan Sabah.

Penyelidik UMS, Profesor Madya Dr Jaya Seelan Sathiya Seelan berkata, penemuan itu memperlihatkan bahawa hutan dipulihkan bukan sekadar kawasan yang sedang mendapatkan kembali fungsi ekologinya, tetapi turut menjadi habitat kepada biodiversiti yang masih belum diterokai sepenuhnya.

“Penemuan ini membuktikan bahawa hutan yang dipulihkan seperti INFAPRO bukan sekadar kawasan yang sedang mendapatkan kembali fungsi ekologinya, tetapi juga merupakan gedung biodiversiti yang masih menyimpan begitu banyak rahsia sains untuk diterokai,” katanya.

Menurut Jaya Seelan, genus Akanthomyces turut berpotensi digunakan dalam kawalan biologi terhadap serangga perosak tanaman seperti kutu daun dan lalat putih.

Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Profesor Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim pula berkata, penemuan spesies baharu di kawasan hutan dipulihkan menghantar mesej penting bahawa usaha pemulihan ekosistem bukan sekadar memulihkan pokok dan landskap.

Berita Berkaitan