Strategi, jentera akar umbi pacu kemenangan BN-PN, kata Salleh

KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya dicapai hasil strategi pilihan raya yang berkesan, kekuatan jentera akar umbi serta kemampuan memahami sentimen pengundi.

Beliau berkata, kejayaan itu bukan semata-mata bergantung kepada populariti, sebaliknya hasil perancangan yang tersusun dan pelaksanaan kempen yang berdisiplin.

Menurutnya, penyelarasan pembahagian kerusi antara BN dan PN menjadi antara faktor utama yang membantu kedua-dua gabungan mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru sekali gus mengukuhkan sokongan di kawasan yang ditandingi.

“Penyelarasan kerusi yang berkesan membolehkan kedua-dua parti menggabungkan kekuatan dan meningkatkan peluang kemenangan di banyak kawasan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Salleh berkata, kemampuan menggembleng undi secara tersusun melalui jentera parti turut memberikan kelebihan, terutama di kerusi yang menyaksikan persaingan sengit.

Beliau turut berpandangan bahawa sentimen semasa pengundi lebih mempengaruhi keputusan pilihan raya berbanding beberapa isu dasar yang menjadi perhatian sepanjang kempen.

Katanya, isu seperti Tabung Haji, pembangunan dan penyelarasan hubungan kerajaan negeri serta Persekutuan tidak dilihat sebagai faktor utama yang menentukan corak pengundian.

Sebaliknya, beliau berkata, mood politik semasa serta persepsi rakyat terhadap landskap politik lebih mempengaruhi keputusan pengundi.

Salleh turut memuji kekuatan organisasi BN dan PAS yang disifatkan berjaya menggerakkan jentera akar umbi secara berkesan sepanjang tempoh berkempen.

“Pilihan raya ini membuktikan bahawa kemenangan memerlukan lebih daripada populariti. Ia menuntut strategi yang mantap, organisasi yang kukuh, pelaksanaan yang berdisiplin serta keupayaan memahami sentimen rakyat,” katanya.

Berita Berkaitan