Tambah kerusi atau satu pertiga? Salleh mahu Putrajaya perjelas

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak mempersoalkan sama ada rancangan menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak benar-benar bertujuan mencapai perwakilan satu pertiga atau sekadar meningkatkan jumlah kerusi sedia ada.

Menurut Salleh, kedua-dua perkara itu membawa implikasi berbeza kerana pertambahan kerusi tidak semestinya meningkatkan kedudukan relatif Sabah dan Sarawak sekiranya jumlah kerusi di Semenanjung turut bertambah. 

“Justeru, isu sebenar bukanlah berapa banyak kerusi yang ditambah, tetapi berapa bahagian kerusi Parlimen yang akhirnya akan dimiliki Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ketika Malaysia dibentuk pada 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura secara kolektif mempunyai 55 daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen, iaitu kira-kira satu pertiga. 

Salleh berkata pemisahan Singapura pada 1965 mengubah susunan itu dan menimbulkan persoalan mengenai bagaimana prinsip perwakilan tersebut harus diterapkan terhadap Sabah dan Sarawak hari ini.

Kerajaan Persekutuan pada 11 September mengumumkan persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat. Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata jumlah dan mekanisme pelaksanaannya masih memerlukan rundingan, termasuk dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Setakat ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, atau kira-kira 25.3 peratus. BHESS dan SPR juga telah memulakan libat urus mengenai mekanisme cadangan pertambahan kerusi berkenaan. 

Salleh berkata Putrajaya perlu menjelaskan sama ada matlamat akhirnya adalah mencapai perwakilan satu pertiga bagi Sabah dan Sarawak atau hanya menambah beberapa kerusi.

“Bagi Sabah dan Sarawak, perkara ini bukan sekadar mendapatkan lebih banyak kerusi. Ia berkaitan sama ada perwakilan mereka mencerminkan semangat dan persefahaman yang menjadi asas pembentukan Malaysia,” katanya. 

Berita Berkaitan